.

"ANTARA BLOG TERBAIK DI NATIONAL EDUCATIONAL BLOGGING SUMMIT 2011"


MORE THAN 3 MILLION HITS !

Statistik

SPSS - STATISTIK PENYELIDIKAN SECARA SANTAI

Pertanyaan: zahinothman@gmail.com



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sila joint dan sign-in. Anda FOLLOWER kehormat drotspss...

Saya klik Follow dan BANGGA menjadi follower drotspss...

Thursday, May 16, 2019

Tajuk 1318 : KOLUMNIS VARIA, KOSMO, 18.12.2018


Artikel asal terbitan KOSMO (foto) dgn 3 citation adalah seperti berikut:
------------------------------------------------------------------------------
Kegagalan pelajar pascasiswazah bergraduat, salah siapa ?
-------------------------------------------------------------------------------
Musim konvokesyen pelajar lepasan siswazah atau pascasiswazah yang mengikuti program sarjana mahupun kedoktoran baru berakhir. Tahniah kepada semua yang bergraduat. Kisah-kisah indah mereka yang berjaya terpapar megah, namun hampir tiada yang sudi menyingkap kisah disebaliknya ramainya pelajar pascasiswazah yang kecundang. Lebih malang lagi, kegagalan ini tentunya diletakkan sepenuhnya di atas bahu pelajar pascasiswazah tersebut.

Menjalankan kajian dan menyiapkan tesis atau dissertasi adalah antara kayu ukur kejayaan pelajar pascasiswazah. Banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan atau kegagalan mereka menjalankan kajian dan menyiapkan penulisan tesis. Tentunya faktor kegigihan dan usaha keras sering menjadi bualan. Namun saya suka menyingkap dua aspek penyeliaan yang tanpa disedari membantutkan kegigihan dan usaha keras ini, tidak termasuk faktor luar kawal seperti sakit, pertukaran penyelia dan masalah kewangan atau pelajar pascasiswazah sendiri hilang minat serta lunturnya motivasi.

Aspek pertama adalah saranan penyelia kepada pascasiswazah supaya mencari jurang kajian atau ‘research gap’ sebelum memulakan kajian diikuti dengan aspek kedua, penyediaan kertas cadangan atau proposal yang tebal dan terperinci. Apakah dia jurang kajian? Terdapat berbagai definisi jurang kajian dan antara yang sering dimomokkan kepada pelajar pascasiswazah iaitu ‘sesuatu yang belum dijalankan dalam kajian-kajian lepas’ dan ‘sesuatu yang tidak lengkap dalam kajian-kajian lepas’. Dua definisi ini dikemukakan supaya pelajar pascasiswazah mencari jurang ini dan seterusnya menjalankan kajian untuk mengisi jurang tersebut. Terdapat satu persoalan besar yang bermain di minda pelajar pascasiswazah - Bagaimana untuk mengetahui kewujudan jurang kajian yang dimaksudkan sedang definisinya sangat kabur. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘sesuatu’ tersebut?

Pencarian jurang kajian atau juga disebut kelompongan kajian sering menjadi perkara utama yang disarankan oleh penyelia sehingga disebut oleh Sandberg dan Alvesson (2011), Alvesson and Orgen (2011) serta Tadajewski dan Hewer (2011) dalam artikel mereka masing-masing sebagai fenomena ‘gap-spotting’. Sandberg dan Alvesson (2011) secara jelas menulis ‘gap-spotting tends to underproblematize existing literature’ dan ‘gap-spotting is not something fixed’ yang semuanya membawa maksud sukarnya menentukan apa yang dimaksudkan dengan ‘research gap’ kepada pengkaji yang telah lama terlibat, apatah lagi kepada pelajar pascasiswazah yang hampir tiada pengalaman menjalankan kajian.

Dalam penulisan mereka, Sandberg dan Alvesson (2011) merumuskan betapa pencarian jurang kajian yang sukar dan kabur ini akhirnya bukanlah menghasilkan sesuatu kajian yang hebat ‘we do not see gap-spotting as a genuine form of problematization since it does not deliberately try to identify and challenge the assumptions underlying existing literature in the process of constructing research questions’.

Disinilah semuanya bermula. Penyelia akan menyarankan pelajar pascasiswazah membaca sebanyak mungkin artikel dalam sesuatu bidang untuk mencari jurang kajian – sesuatu yang kononnya belum dikaji lagi atau yang tidak lengkap. Malah, ada penyelia yang terang-terang meminta pelajar pascasiswazah membaca 100 artikel misalnya, sebagai permulaan. Maka bermulalah episod hilang punca apabila pelajar pascasiswazah cuba membaca artikel satu persatu dan membuat ringkasan. Sebagai novis dalam penyelidikan, membaca artikel bukan satu yang mudah. Jika memahami artikel adalah sesuatu yang sukar, tentulah jauh lebih sukar untuk mencari ‘sesuatu’ yang belum dilakukan dalam kajian lepas. Maka banyaklah masa terbuang untuk memahami dan meringkaskan artikel yang dibaca, dengan harapan akan terilhamlah ‘sesuatu’ yang belum dilakukan dalam mana-mana kajian lepas. Ironinya, lagi banyak artikel dibaca maka lagi bertambah sukarkan untuk mendapatkan ‘sesuatu’ kelompongan.

Sebagai penceramah yang sering dijemput oleh pelajar pascasiswazah untuk berkongsi pandangan, saya mendapati kesukaran ini adalah suatu yang tidak sepatutnya berlaku, menyebabkan ramai pelajar pascasiswazah hilang arah dan semangat untuk meneruskan kajian malah ada yang menarik diri selepas beberapa semester hanya kerana dibelengu dengan fenomema ‘gap spotting’ atau pencarian jurang ini, belum lagi mereka diminta menyiapkan proposal yang tebal dan terperinci. Ramai juga yang mengemukakan pelbagai jurang kajian namum tidak diterima oleh penyelia dengan alasan jurang tersebut dikemukan secara tidak mendalam yang boleh memuaskan hati penyelia. Bayangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar pascasiswazah yang setelah membaca 100 artikel untuk beberapa semester namun terus menghadapi kesukaran mengemukan jurang kajian yang diminta.

Kesukaran ini semakin menjadi getir, apabila ia mesti dikemukakan dalam satu proposal yang detail. Ramai yang kecewa, apabila proposal mereka yang mencecah ketebalan melebihi ratusan muka surat ditolak kerana kegagalan mengemukakan jurang kajian yang ‘jelas’ pada kaca mata penyelia. Malah, ramai juga yang diterima jurang kajiannya tetapi tersangkut pula diperingkat pembentangan proposal apabila panel pula tidak dapat ‘melihat’ jurang tersebut dalam proposal ketika pelajar pascasiswazah membuat pembentangan.

Kesukaran ini menjadi berganda apabila pelajar pascasiswazah tersebut perlu menyediakan semula proposal yang baru bermula dari awal dengan pembacaan ratusan artikel lagi. Disinilah ramai yang menarik diri, apatah lagi tempoh pengajian telah sampai ke penghujungnya. Namun, kisah mereka tidak pernah mendapat perhatian kerana tiada siapa yang peduli.

Kedua-dua aspek di atas iaitu pencarian jurang kajian dan penyediaan proposal yang tebal dan terperinci tidak mempunyai sebarang asas untuk dilakukan sebelum memulakan satu kajian diperingkat pascasiswazah. Kedua-duanya hanya tradisi lama yang menjadi amalan turun temurun dalam dunia pascasiswazah. Aspek utama yang perlu diberikan penekanan adalah pencarian masalah dalam bidang kajian yang boleh dikenalpasti dari beberapa sumber seperti pendapat sarjana, ulasan pakar, isu-isu dalam media masa, pengalaman dalam industri, laporan-laporan agensi, isu-isu dalam persidangan, pembacaan isu-isu terkini dalam penerbitan artikel tempatan dan antarabangsa serta saranan-saranan dari pelbagai pihak. Maka, pencarian masalah dari pelbagai sumber ini tidak memerlukan pascasiswazah terlebih dahulu membaca ratusan artikel tanpa sebab. Penentuan masalah secara jelas, akan memudahkan pascasiswazah mendapatkan artikel yang hanya berkaitan dengan masalah tersebut untuk kemudiannya menyediakan persoalan kajian yang ekplisit sebelum penyediaan proposal yang lengkap tapi ringkas.

Proposal hanyalah satu rangka kajian yang dikemukakan untuk menunjukkan aspek-aspek utama kajian seperti latar belakang kajian, pernyataan masalah, objektif, cadangan reka bentuk , analisis data serta cadangan aliran kerja penyelidikan. Proposal yang lengkap tapi ringkas menjadi amalan universiti ternama seluruh dunia, dengan menghadkan sekitar 2500 dan 5000 perkataan bagi penyediaan proposal peringkat sarjana dan kedoktoran masing-masing. Ini bermakna proposal berada dalam julat 5 – 10 muka surat sahaja dengan rujukan terkini dari sumber yang paling releven sekitar 10 – 20 rujukan sahaja. Oleh kerana terdapat banyak sumber untuk mengenalpasti masalah yang sesuai untuk kajian, diikuti dengan menyediaan persoalan kajian dalam sebuah proposal yang lengkap tetapi ringkas, maka sebarang perbincangan dengan penyelia dapat dilakukan dalam masa yang singkat tanpa dibebani terlebih dahulu dengan pembacaan ratusan artikel sebelum ada keperluannya.
Proposal bukan mini tesis yang tebal seperti anggapan sebahagian penyelia. Proposal boleh sahaja berubah apabila kajian mula dijalankan, lebih-lebih lagi kajian kualitatif yang sering berubah-ubah sepanjang proses kajian berjalan. Maka pencarian jurang kajian yang kabur diikuti dengan penyediaan proposal yang tebal telah meragut banyak masa, merobek motivasi serta menyusahkan pelajar pascasiswazah tanpa sebarang keperluan sedang kajian belum lagi bermula. Tentunya tulisan Tadajewski & Hewer (2011) yang menyatakan bahawa pencarian jurang kajian sebagai satu pendekatan yang konservatif yang ‘not likely to lead to fundamental contributions to knowledge’ menjadi renungan.

Sebagai kesimpulan, amalan konservatif turun temurun pencarian jurang kajian serta gesaan menyediakan proposal yang tebal adalah amalan turun temurun yang telah banyak membantutkan perjalanan awal pelajar pascasiswazah, sedang pencarian masalah yang explisit adalah keperluan utama, bukannya pencarian jurang kajian. Amalan turun temurun yang kabur inilah antara penymbang kepada kecundangnya pelajar pascasiswazah, sedang mereka hanya mengikut sahaja, tanpa banyak bicara.

OT


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...